Announcement:

This is a Testing Annocement. I don't have Much to Say. This is a Place for a Short Product Annocement

Showing posts with label letak. Show all posts
Showing posts with label letak. Show all posts

Sunday, September 15, 2013

Perkasa panggil ketua pemuda kerana desak Najib letak jawatan

Sayap pemuda Pertubuhan Pribumi Perkasa Kebangsaan (Perkasa) mengejutkan ramai pihak apabila membuat gesaan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan ekoran gagal menguruskan negara dengan baik.

Ketua Wira Perkasa, Irwan Fahmi Ideris membuat kenyataan kontroversi itu dalam tulisan di blognya bertajuk "Sudah Cukup Segalanya Digadai, Hj Najib Wajar Meletakkan Jawatan."

"Saya tidak tahu Wira Perkasa ada kuasa yang begitu besar untuk paksa perdana menteri meletak jawatan," kata Datuk Abdul Rahman Abu Bakar kepada The Malaysian Insider, serta meluahkan rasa terkejut atas kenyataan Irwan itu.

Menurut Timbalan Presiden Perkasa itu, beliau akan menemui Irwan dalam masa terdekat bagi mendapatkan penjelasan berhubung kenyataan itu.

Kenyataan Irwan bagaimanapun tidak begitu mengejutkan kerana Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali sangat kritikal kepada strategi pilihan raya Najib, mengatakan baru-baru ini kumpulan itu tidak berpihak kepada mana-mana parti politik selepas Pilihan Raya 2013.

Ibrahim sudah menyatakan pendirian ini kepada penaung Perkasa, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu pertemuan bersama bekas perdana menteri itu, di mana Najib menerima kritikan ekoran kelemahan prestasi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya 5 Mei.

Seorang pemimpin Perkasa berkata, Dr Mahathir memahami langkah Perkasa untuk tidak memihak kepada mana-mana parti politik dalam pilihan raya akan datang walaupun majoriti ahlinya adalah ahli Umno. Tetapi kumpulan hak Melayu itu tidak pernah meminta Najib letak jawatan.

Irwan memberitahu The Malaysian Insider minggu ini bahawa perdana menteri sudah diberikan masa mencukupi, malah ketika pertemuan dengan Perkasa baru-baru ini, beliau menegaskan Perkasa menuntut Najib segera berubah dan mengutamakan kumpulan pengundi Melayu yang memilih untuk mengekalkan kerajaan. Namun Najib masih berpeluk tubuh tanpa sebarang tindakan.

"Najib masih lagi tidak berubah. Kita sudah beri masa, tapi sekarang keadaan semakin serius. Kes jenayah, isu kalimah Allah, semua ini berlaku apabila ketika pilihan raya itu banyak sangat perkara dilakukan, seperti pemansuhan ISA dan banyak lagi," katanya merujuk tindakan kerajaan Najib memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan juga Akta Ordinan Darurat sebelum Pilihan Raya Umum ke-13.

"Perkara terbaik dia buat adalah letak jawatan kerana keadaan semakin teruk, tidak bertambah baik," katanya.
Irwan berkata, masyarakat Melayu memilih Barisan Nasional (BN) bersama dengan bantuan masyarakat India, namun Najib tetap gagal membela dua kumpulan ini sedangkan pengundi Cina yang menyokong BN adalah bilangan yang cukup kecil.

"Kita juga melihat Najib gagal menjaga orang yang undi dia. Melayu yang beri kuasa untuk dia memerintah dengan bantuan orang India, orang Cina hanya lapan peratus sahaja," katanya kepada The Malaysian Insider.

"Kita sudah beri masa, bukan kita terus mendesak (Najib letak jawatan)," katanya lagi, menegaskan itu adalah pendirian Wira Perkasa dan langkah terakhir yang dilakukan mereka.
"Ini pendirian Wira Perkasa. Saya tidak tahu pendirian kepimpinan Pusat Perkasa. Ini yang maksimum kita boleh buat. Kita pun ada sedikit sumbangan untuk BN dalam PRU lepas," katanya.

Dalam laman blognya, Irwan menulis:"1 Malaysia, BR1M, memberi peruntukan berlebihan kepada sekolah-sekolah jenis kebangsaan terbukti GAGAL.
"Ini kerana kepimpinan yang mahu mendapatkan undi kaum Cina sebanyak 26 peratus dan undi kaum India . Bagi kaum Cina ia terbukti gagal, peratusan kaum Cina itu keluar mengundi meningkat, tetapi peratusan yang dapat kepada kerajaan hanya 8 peratus. Manakala kaum india yang ramai menyokong kerajaan. Tetapi kadar jenayah daripada kaum ini meningkat."

Beliau turut membangkitkan kegagalan slogan "1Malaysia" Najib dan juga Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang menurutnya adalah "rasuah yang dihalalkan oleh kerajaan."

"Malangnya kepimpinan tertinggi negara masih lagi menagih kepada kaum ini, melantik orang yang tidak sepatutnya dilantik. Laungan 1Malaysia ini dilaungkan oleh pengampu, saya mahu tanya apakah 1Malaysia ini berjaya? Jika pada pandangan saya ia terbukti gagal," katanya dalam posting blog berkenaan. – 28 Ogos, 2013.


View the original article here

Isu kuil: Ketua Pemuda MIC desak Ku Nan letak jawatan

Ketua Pemuda MIC, T. Mohan yang ditahan polis hari ini kerana membantah perobohan kuil hindu di jalan P Ramlee menuntut Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Seri Tengku Adnan Mansor meletakkan jawatan.

Katanya Tengku Adnan langsung tidak mencerminkan kredibilitinya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar apabila membenarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membina dinding dalam kuil tersebut sekaligus merobohkan tempat sembayang kaum itu.

"Kita mahu ( Tengku Adnan) letak jawatan, beliau langsung tidak layak jadi menteri, beliau seorang yang kejam kerana tidak mengendahkan permintaan kaum India untuk tidak menyentuh kuil ini dia tidak hormat kepada kita," katanya kepada pemberita sebaik saja beliau dibebaskan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi sebentar tadi.

Ketua Pemuda MIC itu juga turut meluahkan kekesalan kerana insiden ini berlaku selepas negara menyambut kemerdekaan dan berbeza dengan apa yang diseru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam gagasan "1 Malaysia."?
Pagi tadi , keadaan di Kuil Hindu Sri Muneswarar Kaliyaman di Jalan P.Ramlee yang terletak di ibu negara bertukar kecoh apabila DBKL dilaporkan cuba merobohkan kuil tersebut.

Bagaimanapun salah faham tersebut dijelaskan oleh pegawai khas Tengku Adnan yang berkata DBKL cuma ingin membina tembok bagi memberi laluan kerja pembinaan di bangunan Hap Seng.
Menurut Ramakrishnan, kerja pembinaan bangunan Hap Seng membabitkan keluasan lapan kaki dalam kawasan kuil yang dibina atas tanah kerajaan itu.

Keadaan bertukar tegang apabila pegawai khas Tengku Adnan itu gagal mengemukakan notis selain pembinaan tembok atau dinding turut menyebabkan tempat sembayang kuil tersebut dirobohkan.
Ia menyebabkan penahanan 11 individu termasuk gerakan pemuda MIC, PKR, dan ahli jawatankuasa kuil sebelum dibebaskan lima jam kemudian.

Mohan bersama yang lain didakwa dibawah seksyen 180 Akta Kanun keseksaan dimana menghalang penjawat awam bertugas.
Polis membebaskan beliau dengan jaminan mulut dan Mohan perlu menghadirkan diri ke IPD Dang Wangi pada 2 Oktober.

"Dalam kes ini tidak salahkan polis, kita faham kerja mereka, tapi DBKL ini mereka ini macam samseng, langsung tidak menghormati rumah tuhan kami, masuk tidak buka kasut, rokok dalam kuil jadi inikah keperibadian ditonjolkan oleh penjawat awam," katanya lagi.

Menurut Mohan, Kabinet telah membuat keputusan untuk menangguhkan perobohan kuil itu dan turut mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak apabila perkara itu telah dicatit dalam minit sebagai bukti ia merupakan akuan rasmi.
Mogan turut mendakwa, wujud kepentingan pihak tertentu yang mengaut keuntungan dari projek pembinaan bangunan Hang Seng.

"Kita tidak faham mengapa pembinaan itu boleh dibuat di tapak kuil, mengapa ia diluluskan adakah pihak lain mengaut keuntungan dari projek ini kita akan siasat dan akan adukan pada Suruhanjaya Pencegah Rasuah," katanya.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Zainuddin Hamzah mengesahkan hanya lapan orang saja yang ditahan polis walaupun ketua pemuda MIC itu berkata 11 orang telah ditangkap.

Malah, Zainuddin juga menegaskan mereka tidak menangkap pemimpin dari pemuda MIC itu sebaliknya beliau dibawa ke balai polis hanya untuk memberi keterangan.
Zainuddin juga berkata notis yang dihantar oleh DBKL kepada pihak kuil tidak sampai akibat dari campur tangan politik. – 1 September, 2013.

Itukan tanah orang.

View the original article here

Copyright @ 2013 Blog Info. Designed by Templateism