Dua skuad khas ditubuhkan polis Bukit Aman masing-masing untuk memerangi masalah jenayah berat dan dadah di negara ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.
  
Beliau berkata skuad yang masing-masing berkekuatan 200 pegawai dan anggota polis terlatih diketuai Komisioner Polis, mula beroperasi sejak dua bulan lalu.
  
Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi kelulusan segera bagi penubuhan dua skuad khas itu.
  
"Skuad khas ini hanya akan beroperasi dari Bukit Aman untuk terus membanteras kumpulan sasaran, dan tidak melalui Ibu Pejabat Kontinjen, Ibu Pejabat Polis Daerah dan Negeri," katanya.
  

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Forum Pencegahan Jenayah di sebuah hotel di Bandar Sunway  hari ini.
  
Ahmad Zahid berkata skuad itu yang ditubuhkan secara tetap, terlibat dalam kes terbaru membabitkan lima penjenayah yang ditembak mati di Pulau Pinang, baru-baru ini.
  
"Pemilihan pegawai dan anggota skuad tertakluk kepada kuasa penuh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar," katanya.
  
Forum sehari bertajuk 'Undang-undang Semasa dan Langkah-langkah Untuk Mencegah Jenayah Kekerasan Secara Berkesan' dianjurkan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dan Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli).
  
Ia diadakan bertujuan mendapatkan input pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia, badan bukan kerajaan dan peserta forum mengenai penggubalan undang-undang pencegahan jenayah.
Dalam ucapan perasmiannya, Ahmad Zahid berkata resolusi forum itu perlu dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara untuk diteliti dan diperinci, termasuk mengenai sama ada perlu mewujudkan semula undang-undang pencegahan.
   
Beliau berkata apabila Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Ordinan Darurat dimansuhkan, ia menyukarkan pihak penguatkuasa terutama polis melaksanakan tindakan pencegahan.
   
Susulan pemansuhan itu, antara faktor yang menyumbang kepada kesukaran pihak keselamatan membanteras penjenayah ialah saksi takut untuk tampil ke hadapan selain identiti penjenayah sukar dicam saksi, dan keterangan tidak mencukupi untuk menangkap penjenayah.
   
"Dalam perbincangan untuk (mewujudkan) undang-undang baharu yang dibuat sekarang, kita akan pastikan resolusi forum ini dimasukkan sebelum dibentangkan di Parlimen pada sesi akan datang," katanya.
   
Ahmad Zahid turut mengumumkan bahawa beliau telah dilantik oleh Najib sebagai pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Rabu lepas.

Turut hadir Naib Presiden MCPF Tan Sri Lee Lam Thye dan Pengerusi Asli Tan Sri Dr Jeffrey Cheah.

- Bernama